Monday, July 28, 2008

Dam Haji


Pengenalan

Setiap pemain memiliki jumlah buah dam yang sama (24 pada papan bersaiz 10 x 10 atau 12 pada papan 8 x 8), tetapi berlainan warna. Seorang hitam dan seorang lagi putih (atau merah). Pilihan warna tidaklah begitu penting berbanding catur, kerana warna putih tidak semestinya bermula dahulu.

Giliran
Mengikut persetujuan pemain, mana-mana pihak boleh bermula dahulu. Setelah pemain pertama menggerakkan satu buah, giliran pemain kedua pula. Begitulah seterusnya sehingga permainan tamat.

Cara bergerak
Setiap buah dam cuma boleh bergerak satu petak secara pepenjuru, sama ada ke kiri atau ke kanan, sekiranya petak tersebut masih kosong.
Haji (buah dam yang telah sampai ke hujung papan sebelah lawan) bergerak dengan cara yang sama, tetapi boleh pergi seberapa banyak petak yang dikehendaki.

Papan dan buah dam

Papan
Papan permainan yang digukan sentiasa berbentuk segi empat sama. Papan ini akan dibahagikan kepada (biasanya) 64 atau 100 petak segi empat sama, dengan warna petak yang berselang-seli gelap dan cerah. Polanya sama dengan papan catur, cuma saiz dan warnanya sahaja yang mungkin berbeza.

Buah
Buah dam boleh dibuat dari hampir apa sahaja. Yang penting ia boleh disusun dua sekali untuk menjadi "haji". Di warung kopi misalnya, kadang-kadang tutup botol digunakan sebagai buah, maka satu pihak akan menelangkupkan tutup botol manakala pihak lawan akan menelentangkan tutup botol.
Kedua-dua pemain bermula dengan buah biasa. Sekiranya mana-mana buah pemain berjaya sampai ke hujung papan lawan, ia dikatakan "naik haji". Buah haji ini biasanya dibezakan dari buah biasa dengan meletakkan satu lagi buah di atasnya (disusun dua tingkat). Keistimewaan buah haji ialah ia boleh bergerak ke hadapan atau ke belakang seberapa banyak langkah yang dikehendaki (sekiranya tidak dihalang buah lain).

Cara makan

Buah biasa
Sekiranya di pepenjuru kanan/kiri hadapan suatu buah sendiri ada buah lawan, dan di belakangnya kosong, maka buah lawan tersebut boleh dimakan (ditangkap dan dikeluarkan dari permainan) dengan melompat buah lawan tersebut. Ertinya, buah sendiri diletakkan di petak kosong di belakang buah lawan, kemudian buah lawan dikeluarkan dari permainan.
Sekiranya selepas makan kali pertama, situasi yang sama berulang lagi, maka pemain berhak memakan lagi. Ertinya, seseorang pemain boleh memakan beberapa buah lawan dalam satu giliran.
Perlu diingatkan bahawa buah dam biasa cuma boleh bergerak, dan oleh itu makan, ke hadapan.

Buah haji
Cara makan buah haji sama dengan buah biasa. Bezanya, bauh haji boleh bergerak banyak langkah, dan oleh itu boleh makan buah lawan yang jauh. Buah haji juga boleh makan ke belakang kerana ia boleh bergerak ke belakang.

Peraturan makan
Sekiranya ada peluang memakan buah lawan, pemain diwajibkan melakukannya. Kegagalan untuk memakan buah lawan akan menyebabkan phak lawan berhak mengambil buah pemain yang gagal memakan dan mengeluarkannya dari permainan.
Sekiranya terdapat pilihan untuk memakan buah lawan, pemain boleh memilih untuk memakan mana-mana buah yang dikehendakinya.

Bermula

Kedudukan pemulaan 8x8
Kedudukan permulaan permainan dam adalah seperti di dalam gambar di atas. Petak paling bawah kiri berwarna gelap, manakala petak paling bawah kanan berwarna cerah. Setiap pemain meletakkan (bagi petak 8x8) kesemua 12 buahnya pada 3 baris yang terdekat, pada petak yang berwarna gelap. Ini akan meninggalkan dua baris kosong di tengah papan permainan.
Seperti yang disebut di atas, mana-mana pihak boleh bermula dahulu, bergantung kepada persetujuan pemain.


Tamat
Permainan dam tamat apabila:
Seorang pemain kehilangan semua buah damnya. Dia dikira kalah.
Seorang pemain tidak dapat menggerakkan buahnya kerana disekat. Dia dikira kalah.
Seorang pemain menyerah kalah.
Kedua-dua pemain bersetuju untuk seri, biasanya kerana kedua-dua pemain mepunyai buah haji yang tidak dapat dimakan atau disekat.

Teng Teng


Permainan ini juga dikenali sebagai Ketinting. Kanak-kanak perempuan sering memainkan permainan ini daripada kanak-kanak lelaki. Ini mungkin disebabkan permainan yang tidak begitu lasak serta memerlukan tenaga yang banyak dan ianya memerlukan pemerhatian di gelanggang yang agak kecil sahaja.

Di kampong-kampong gelanggang di buat dengan mengoreskan garisan di atas tanah sahaja, tetapi lain keadaannya pula dengan kanak-kanak yang berada di kawasan taman perumahan atau dikawasan pekan yang tiada halaman bertanah. Mereka akan menggunakan kapur tulis tepung atau apa sahaja yang dapat dilukiskan di atas jalan bertar.

Teng teng dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak terdiri dari dua hingga empat orang setiap gelanggang, tiada peraturan tetap dengan jumlah pemain bagi setiap gelanggang. Sekiranya melebihi dari empat pemain dalam satu gelanggang, ianya akan mendatangkan kesukaran bagi setiap pemain untuk berteng teng.

Gelanggang & Gundu

Gelanggang teng teng hanya dilukiskan petak-petak di atas tanah sahaja. Terdapat sembilan petak-petak kosong bagi satu gelanggang. Permainan dijalankan mengikut urutan seperti rajah di bawah.


Gelangang Teng Teng

Selain daripada gelanggang, gundu adalah juga sebagai perkakasan penting yang dimainkan bersama. Gundu atau buah ialah objek berbentuk leper sebesar separuh tapak tangan yang diperbuat daripada apa sahaja, seperti pecahan pinggan, kepingan besi atau batu yang leper.

Gundu ini adalah sebagai tanda bagi para pemain untuk mengerakkan kedudukan mereka di petak-petak gelangang.

Cara Bermain

Sebelum permainan dimulakan, undian dijalankan bagi menentukan pemain yang mana harus memulakan permainan terlebih dahulu. Lai lai li tam plong adalah kaedah bagi menentukan pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.

Bagi memulakan permainan, pemain hendaklah mencampakkan gundu ke dalam petak pertama dengan cara membelakangkan petak, begitu juga jika pemain telah berjaya melepasi pusingan pertama, kedua dan seterusnya cara mencampakkan gundu adalah sama. Jika gundu tidak masuk ke dalam petak yang ditentukan atau terkeluar ia di anggap mati dan hilang giliran. Pemain lain mengambil giliran pula.

Pemain dikehendaki melompat kedalam kesemua petak dengan sebelah kaki, kecuali di petak sembilan dengan kedua belah kaki. Tetapi bagi pemain yang baru sahaja memulakan permainan dimana gundu berada di petak pertama, maka pemain hendaklah melompat terus ke petak ketiga, tanpa memijak di petak kedua. Begitu juga dengan lompatan disetiap petak, seandainya pemain terpijak garisan ia dianggap mati dan giliran pemain lain mengambil alih permainan.

Setelah pemain melompat kembali ke garisan permulaan, setibanya di petak kedua dan keempat, pemain hendaklah memijak dengan kaki kanan di petak kedua dan kaki kiri di petak keempat. Setelah itu pemain dikehendaki melompat ke petak ketiga pula dengan hanya sebelah kaki dan seterusnya gundu hendaklah dikutip di petak pertama lalu melompat ke petak pertama dan terus ke garisan penamat.

Setiap pemain tidak dibenarkan memijak petak dimana gundu berada di dalamnya, samada kepunyaan sendiri atau pihak lawan, jika ini berlaku ia dikira mati, giliran pemain seterusnya mengambil alih permainan.

Membina Rumah

Sebelum pemain membina rumah, acara timbang hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Gundu hendaklah diletakkan di atas kepala dan melompat kedalam setiap petak dengan sebelah kaki kecuali petak kesembilan. Pemain hendaklah melepasi petak ketujuh tanpa melompat kedalamnya dan terus ke petak lima. Sambil berdiri menghadap di garisan permulaan petak ketujuh, pemain dikehendaki menundukkan kepala menjatuhkan gundu. Gundu hendaklah disambut sebelum jatuh ke tanah, jika pemain tidak dapat menyambutnya ia dikira mati dan acara timbang dilakukan semula setelah giliranya sampai kemudian. Pemain terus melompat ke petak pertama dan keluar dari garisan permulaan.

Untuk mendapatkan rumah, pemain dengan berdiri membelakangkan kesemua petak di garisan permulaan dan mencampakkan ke dalam mana-mana petak gelanggang dan disitulah kedudukan rumahnya. Sekiranya gundu jatuh terkena gaisan atau terkeluar maka ia dikira mati. Setiap pemain hendaklah memijak dengan kedua belah kaki di petak rumah dan pemain lain tidak dibenarkan berbuat demikian. Sekiranya pemain lain memijaknya atau tuan rumah lupa memijak dengan kedua belah kakinya ia dikira mati.

Batu Seremban


Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih.

Guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat biasanya digunakan oleh kanak-kanak dalam permainan ini sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah.

Permainan ini sering dimainkan diwaktu lapang, di serambi rumah, di dalam rumah atau dimana sahaja yang mereka gemari dengan memerlukan permukaan yang rata dan bersih. Para pemain hendaklah duduk di atas lantai, dengan cara begini memudahkan permainan tersebut dimainkan.

Menentukan Giliran

Sebelum permainan dimulakan, seorang demi seorang pemain dikehendaki menimbang buah, bagi mendapatkan mata sebagai penentuan siapa yang akan bermain dahulu sebagai pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Cara menimbang buah adalah dengan kesemua buah diletakkan di atas tapak tangan dan dilambung keudara, kemudiannya hendaklah disambut pula dengan belakang tapak tangan. Jumlah buah yang dapat disambut itu adalah dikira sebagai mata.

Cara Bermain

Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepada peringkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.

  1. Batu Satu: Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas lantai, berkeadaan buah-buah itu tidak bersentuhan antara satu dengan yang lain. Sebiji buah diambil untuk dijadikan ibu, dan ibu hendaklah dilambungkan keudara, dalam masa yang sama sementara buah ibu masih berada diudara, sebiji lagi buah hendaklah dikutip. Dalam masa yang sama pemain hendaklah menyambut buah ibu, apabila telah disambut sebiji buah hendaklah digenggam di dalam tangan yang sebelah lagi. Perlakuan begini dibuat berterusan sehingga kesemua buah di atas lantai itu habis dilambung dan disambut.
  2. Batu Dua: Cara buah dua dimainkan adalah serupa seperti buah satu, tetapi buah yang dikutip mestilah dengan dua biji serentak, ini bermakna hanya dua kali lambungan buah ibu dilakukan.
  3. Batu Tiga: Buah tiga pula terdapat sedikit perbezaan. Langkah pertama adalah dengan mengutip sebiji buah dahulu, pada lambungan kali kedua pemain hendaklah mengutip tiga biji buah serentak.
  4. Batu Empat: Pemain mengutip kesemua empat biji buah di atas lantai dan dalam masa yang sama hendaklah menyambut buah ibu yang telah dilambungkan.
  5. Batu Lima: Diperingkat ini urutan dari memainkan buah empat, sementara di dalam tangan tergenggam lima biji buah, sebiji dari buah hendaklah dilambungkan dan empat biji buah baki hendaklah diletakkan di atas lantai pula serta menyambut buah ibu sahaja.
  6. Batu Enam: Ditahap buah enam terdapat perbezaan, ianya juga dinamakan buah tukar dimana dua biji buah dijadikan buah ibu. Apabila sebiji daripadanya dilambungkan ke udara maka sebiji lagi buah ibu itu hendaklah ditukarkan dengan buah lain yang terdapat di atas lantai, sehingga selesai.
  7. Batu Tujuh: Buah tujuh adalah urutan dari peringkat permainan buah enam. Dua biji buah yang masih berada di dalam tangan hendaklah dilambungkan serantak. Sementera itu sebiji buah hendaklah dikutip. Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua belah tangan, sebiji disebelah kanan dan sebiji lagi disebelah kiri. Pada buah ibu yang terakhir dilambungkah hendaklah juga disambut.
Menimbang

Setelah selesai kesemua peringkat dilalui, pemain hendaklah menimbang buah untuk mendapatkan mata. Menimbang buah diperingkat ini ada dua kaedah. Cara pertama sama seperti permulaan menentukan pemain, mata dikira hanya mengikut bilangan biji buah yang dapat ditimbang. Tetapi jika buah yang ditimbang itu disambut dengan cara mencangkuk, maka mata dikira sekali ganda dari jumlah biji buah yang dapat disambutnya.

Sekiranya pemain dapat bermain sehingga keperingkat menimbang dengan memperolehi mata, maka pemain tersebut boleh meneruskan permainan semula, buah satu dan seterusnya sehingga mati.

Mati Permainan

Sekiranya ibu tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai tangan mengenai biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga ibu jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji buah ianya dikira mati (permainan ditamatkan) dan permainan akan diserahkan kepada pemain seterusnya.



Congkak


Congkak sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji congkak, biji getah, biji guli dan lain-lain. Di utara semenanjun
g ianya dipanggil juga Jongkok.

Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tetapi tidak pasti asalnya, samada pengaruh luar telah datang bersama pedagang atau sememangnya telah dicipta oleh orang Melayu ketika itu.

Papan Congkak

Peralatan yang digunakan untuk bermain congkak biasanya diperbuat daripada batang pokok kayu besar yang diukir seperti perahu. Disebelah hujungnya diukir bentuk kepala pelbagai haiwan seperti burung manakala dibahagian badan papan diukir dengan pelbagai ukiran Melayu. Lubang sebesar 9sm. garis pusat dan 7sm. dalam ditebuk atas permukaan papan tersebut. Sekiranya permainan congkak di tanah, lubang digali dan kemudian diletak tempurung kelapa supaya tangan tidak kotor terkena tanah.

Lubang-lubang congkak dibuat dalam dua barisan selari antara satu sama lain yang disebut kampung. Pada penghujung kampung terdapat sebuah lubang besar dan dalam dinamakan rumah. Jumlah kampung yang biasa terdapat pada papan congkak ialah lima, tujuh atau sembilan sebaris. Kampung-kampung ini diisikan dengan buah congkak sama banyak.



Cara Bermain

Dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan dengan kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.

Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut.

Pihak lawan mengamb
il giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati.

Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.


Sepak Raga Bulatan


Permainan sepak raga wujud sejak 600 tahun lalu. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, selain dimainkan oleh golongan bangsawan, rakyat jelata juga menggemari permainan ini. Dalam sejarah Melayu menceritakan tentang Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.

Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis.


Cara Bermain

Dalam permainan sepak raga, beberapa pemain berdiri dan membentuk satu bulatan. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan.

Menimang Bola

Permainan ini memerlukan ketangkasan dan kecekapan fizikal serta ketajaman mata untuk mengukur pergerakan. Matlamat setiap pemain ialah memantapkan kemahiran menerima hantaran bola raga dan menimangnya dengan selesa selama yang mungkin. Jangka masa permainan tidak ditentukan kecuali dalam pertandingan yang lazimnya dianjurkan sebagai acara berpasukan. Pasukan yang berjaya membuat timangan paling banyak dalam suatu tempoh yang ditetapkan, dikira menang.

Pada masa ini sepak raga tiada lagi dimainkan, ianya telah ditukar dengan nama kepada sepak takraw. Sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring, seperti dalam permainan badminton. Pasukan sepak takraw terdiri daripada tiga pemain. Tekong melakukan sepak mula dan mengawal bahagian belakang gelanggang. Apit kiri dan apit kanan mengawal bahagian hadapan gelanggang dan memikul tugas utama mematikan bola di gelanggang lawan.

Galah Panjang


Permainan tradisional yang dimainkan diluar rumah. Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak sahaja tetapi sebagai pertunjukan di pesta-pesta kebudayaan kadangkala dipertontonkan untuk pelancong oleh golongan dewasa.

Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan. Terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja.

Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya adalah sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu disepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang. Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang.

Sebelum permainan dimulakan undian secara wan tu som dijalankan oleh kedua-dua ketua pasukan. Siapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang. Penetapan pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, samada hanya dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.

Gelanggang Permainan

Kawasan permainan yang sederhana luas diperlukan, samada di atas tanah, kawasan bertar atau bersimin dan di atas padang. Tiada ukuran khas penetapan yang perlu dipatuhi, tetapi dianggarkan antara enam hingga lapan meter lebar dan jarak bagi setiap garisan lintang gelanggang antara tiga hingga empat meter. Jumlah garisan lintang bagi awak-awak tidak terhad, ia mengikut jumlah pemain bagi setiap pasukan.

Sebagai penanda garisan, akan digunakan tepung atau tali jika dimainkan di atas padang. Cat juga boleh digunakan sekiranya gelanggang simin. Tetapi kebanyakan kanak-kanak akan melorekkan garisan tersebut di atas tanah sahaja.

Cara Bermain

Sejurus sebelum permainan dimulakan, ketua pasukan penyerang akan menepuk tangan ketua pasukan bertahan di petak kepala gelanggang. Ini menandakan permainan sudah dimulakan dan awak-awak boleh mula menyerang, samada secara individu atau beramai-ramai.

Setiap pemain hendaklah melepasi semua garisan hingga ke garisan belakang sekali dan kembali semula hingga ke garisan hadapan tanpa dapat dicuit oleh pasukan bertahan. Jika salah seorang dapat dicuit oleh pasukan bertahan maka pasukan itu dikira mati. Pertukaran kedudukan akan dilakukan iaitu pasukan yang bertahan akan jadi pasukan penyerang dan sebaliknya.

Peraturan Permainan

Kesemua pemain pasukan penyerang akan dikira mati jika salah seorang dari mereka dicuit oleh pemain pasukan bertahan.

Pemain pasukan penyerang tidak boleh berundur kebelakang setelah melepasi garisan gelanggang, ia dikira mati yang akan menyebabkan pertukaran kedudukan pasukan.

Pasukan penyerang dikira mati jika terdapat pemainnya terkeluar dari garisan gelanggang.

Pasukan penyerang dikira menang jika salah seorang dari pemainnya dapat melepasi kesemua garisan hingga kembali ke garisan permulaan. Satu mata diberikan kepada pasukan ini dan permainan akan dijalankan semula.

Mana-mana pasukan yang dapat mengumpul mata tertinggi akan dikira memenangi perlawan tersebut.

Pengenalan & Matlamat

Pengenalan

Persatuan Literasi Melayu (PLM), Universiti Multimedia merupakan satu organisasi yang diterajui oleh siswa dan siswi yang bertujuan mempelajari adat dan budaya lantaran memartabatkan seni warisan masyarakat Melayu sebagai salah satu warisan negara. Karnival Sukan dan Permainan Tradisional 2008 merupakan salah satu saluran pembelajaran dan pendekatan tentang adat dan warisan Melayu. Antara acara yang dipertandingkan ialah galah panjang, dam haji, sepak raga bulatan, congkak, batu seremban dan teng-teng. Penyertaan adalah terbuka kepada semua pelajar dan staf Universiti Multimedia. Peserta dari luar turut dijemput (wakil-wakil sekolah, institusi pendidikan dan organisasi luar). Sambil itu penyertaan orang luar yang mengunjungi majlis Konvokesyen MMU ke-9 juga adalah digalakkan.

Matlamat


Matlamat utama Karnical Sukan dan Permainan Tradisional adalah untuk mengembalikan warisan yang makin dilupakan dan juga bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara para peserta terutama pelajar-pelajar dengan komuniti sepanjang program ini dijalankan. Selain itu juga, program ini bakal memeriahkan lagi majlis Konvokesyen MMU ke-9

Bersempena dengan Konvokesyen MMU ke-9


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera!
Persatuan Literasi Melayu (PLM) dengan julung kalinya akan menganjurkan Karnival Sukan dan Permainan Tradisional bersempena dengan majlis Konvokesyen MMU ke-9.





Berikut ialah butiran program tersebut:

Tarikh: 10 – 12 Ogos 2008
Tempat: Perkarangan Lecture Hall, Universiti Multimedia, Cyberjaya
Aktiviti: Dam Haji, Galah Panjang, Congkak, Batu Seremban, Sepak Raga Bulatan dan Teng-teng

Kepada yang berminat untuk menjadi peserta, bolehlah menghubungi Asri (minda_kacau@yahoo.com.my) dan Mun (munz_05yahoo.com) ataupun lawati booth* kami di Central Plaza mulai Selasa ini hingga Khamis. TEMPAT ADALAH TERHAD!!! Setiap kategori dijanjikan PLAQUE & HAMPER**.

*juga terdapat booth Sudoku, Paintball & Wall Climbing.
**hamper disediakan kepada tempat pertama hingga ke-4 untuk setiap kategori.